Friday, December 12, 2008

Pengalaman Mulkaseh berperang dengan sampah


MULKASEH CERITAKAN PENGALAMAN BEBASKAN KAMPUNG DARIPADA SAMPAH


KOTA KINABALU: Kesedaran mengenai kepentingan membebaskan kampung daripada sampah bukan saja diterapkan kepada orang dewasa malah kepada golongan kanak-kanak di kampung Cenderamata Dua Likas.

"Ia bukan saja disampaikan melalui ceramah, syarahan, taklimat malah kesedaran mengenai kebersihan itu turut disampaikan melalui khutbah Jumaat," kata Pengerusi Jawatankuasa Micro Enterprise, Mulkaseh Haji Renda.

"Sebagai warga kampung Cenderamata Dua, kami memberikan sokongan sedaya upaya kami bagi memastikan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu bersih, indah dan selamat untuk didiami," katanya sambil menyatakan kerjasama di kalangan penduduk kampung adalah amat menggalakkan.

Mulkaseh memberitahu, sejak menjalankan tugas sebagai Pengerusi Micro Enterprise kira-kira 5 tahun yang lalu, jawatankuasa itu telah melaksanakan pelbagai aktiviti untuk menentukan kampung mereka sentiasa bersih, indah dan selamat serta menjalankan aktiviti bagi menjana ekonomi masyarakat kampung.

"Selain daripada menentukan kampung Cenderamata Dua Bebas daripada Sampah, kami juga menentukan agar kampung kami menghijau dengan pokok bunga," katanya.

Menurutnya, kerjasama yang diberikan oleh pegawai dan kakitangan DBKK dalam usaha memastikan kampung itu bebas daripada sampah, amatlah memuaskan.
"Kalau dulu kita terpaksa tulis surat barulah lori sampah datang, kini pakai SMS pun, lori sampah dengan segera," katanya sambil mengucapkan penghargaan terhadap kerjasama DBKK.

Beliau memberitahu, bagi mencapai pengiktirafan sebagai Zon Tanpa Sampah itu, pihaknya telah mengadakan gotong royong sebanyak tiga kali bermula 18 November 2007, yang turut dipantau dan dikendali oleh Jawatankuasa LA21 Alam Sekitar DBKK.

Katanya, jawatankuasa telahpun mendapat kerjasama daripada DBKK untuk mengadakan taklimat dan kebersihan kepada masyarakat selain menyediakan tong sampah di sepanjang jalan kawasan kampung, pengagihan penyeduk sampah dan pencakar sampah kepada ketua-ketua unit kampung.

"Kami juga mengadakan inisiatif menjemput pemimpin masyarakat turun padang memberi pendidikan dan semangat kepada penduduk kampung menjayakan program ini dan menjadikan Kampung Cenderamata Dua sebagai sebuah kampung yang mendapat perhatian DBKK yang mana kebersihannya dipantau dari semasa ke semasa oleh oleh pihak LA21 DBKK sehingga mendapat sijil pengiktirafan.

"Kami berhasrat untuk membantu DBKK memperjuangkan usaha menjadikan Kota Kinabalu sebagai zon tanpa sampah selain memberi penekanan serius terhadap hala tuju 3K iaitu kebersihan, keindahan dan keselamatan," katanya

Ketua Pengarah DBKK, Datuk Dr.Chua Kim Hing menyifatkan usaha mengwujudkan zon tanpa sampah merupakan satu usaha yang agak sukar tetapi bukan mustahil untuk dilakukan.

Beliau berkata, kerjasama yang ditunjukkan oleh penduduk kampung amatlah membanggakan dalam usaha menjayakan hasrat mengwujudkan Zon Tanpa Sampah itu.

"Usaha mengwujudkan Zon tanpa Sampah itu akan dijalankan secara berterusan sehingga masyarakat memahami dan mempunyai kesedaran mengenai betapa pentingnya menjadikan kampung bebas daripada sampah.

"Kita mahu mendidik masyarakat supaya tidak membuang sampah di merata-rata tempat, tidak kira dimana mereka berada," katanya.

Beliau juga menggalakkan agar semua anggota masyarakat saling menasihati sesama sendiri di kalangan keluarga selain mengambil masa berbual dan menasihati kanak-kanak sekolah tadika dan rendah mengenai pembuangan sampah dengan cara yang betul.

No comments:

Post a Comment