Sunday, December 14, 2008






KAMPUNG CENDERAMATA DUA SAMBUT ULANG TAHUN KE-9

KOTA KINABALU: Kampung Cenderamata Dua Likas, mungkin lahir daripada sebuah sejarah yang pahit tetapi kini selepas sembilan tahun berlalu, kampung itu mencatat pelbagai kejayaan dan terkenal di negeri ini sebagai satu-satunya kampung yang diiktiraf sebagai Kampung Zon Tanpa Sampah.

Sejarah pahit yang dialami penduduk kampung selepas hampir seluruh kampung itu ranap menyembah bumi dalam tragedi hitam 14 Julai 1997 iaitu kebakaran terbesar yang memusnahkan seribu buah rumah dan menyebabkan penduduknya yang berbilang kaum tinggal sehelai sepinggang, kini telah lama berlalu.

Namun peristiwa itu tetap diingati dan disyukuri oleh lebih 1,200 penduduk kampung yang meraikan Sambutan Ulang tahun ke-9 Kampung Cenderamata Dua Likas, malam kelmarin.

Majlis sambutan ulang tahun itu dirasmikan oleh Ketua UMNO Bahagian Sepanggar, Jumat Idris, yang secara kebetulan merupakan antara orang yang banyak memainkan peranan hingga kampung itu diwartakan sebagai Kampung Anak Negeri pada 31 Ogos 1999.

"Kejayaan Kampung Cenderamata Dua terletak kepada keharmonian dan sejauhmana kuatnya silaturrahim dan perpaduan di kalangan penduduk kampung, " kata Jumat.

Beliau menyeru agar penduduk kampung supaya terus mengukuhkan perpaduan di kalangan mereka kerana hanya dengan perpaduan, kampung itu dapat mencipta kemajuan dan kejayaan.

Jumat juga mengingatkan supaya masyarakat Kampung mementingkan pendidikan anak-anak mereka supaya mereka dapat bersaing dan tidak terhimpit di tengah-tengah pembangunan metropolitan.

Terdahulu, Pengerusi Penganjur WKAN Mulkaseh Haji Renda menyampaikan terima kasih dan rasa kesyukuran kerana kampung itu berjaya mencapai pelbagai kejayaan hasil kerjasama yang kukuh di kalangan penduduk.

Beliau menggesa supaya penduduk kampung terus menginsafi sejarah kampung dan terus berusaha untuk bersama-sama meningkatkan lagi imej kampung cenderamata.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Timbalan Ketua Bahagian, Yakub Khan, Naib Ketua Bahagian, Hajah Zaitun Datuk Seri Panglima Kassim, WKAN Awang Lamin, Ketua Kampung Likas Utara, Abd.Mumin Rasam, Pengerusi JKKK, Matchin Haji Abd.Salam.

No comments:

Post a Comment