Friday, December 31, 2010

Catatan sekitar ulang tahun kg cenderamata 2 Likas kali ke-11

KG CENDERAMATA DUA LIKAS SAMBUT ULANG TAHUN KE-11
Oleh ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN
abdnaddin@yahoo.com

SAMBUTAN Ulang Tahun Kampung Cenderamata Dua Likas kali yang kesebelas berlangsung dengan amat sederhana pada malam 31 Disember lepas. Masyarakat kampung berhimpun di Perkarangan Rumah Ketua Kampung, Abdul Mumin Rasam di Lorong 4 sambil membakar-bakar sayap ayam, ikan bakar dan menikmati jamuan sementara menanti beralihnya waktu ke tahun baru 2011.
Di Masjid Nurul Iman, sejak 6.00 petang, selepas solat Maghrib berjemaah, diadakan bacaan surah Yasin. Abdul Mumin sendiri yang memimpin bacaan doa, memohon agar kampung yang kini telah menempah nama itu, terselamat dari segala musibah dan malapetaka. Majlis ulang tahun itu sendiri diadakan bagi memperingati ulang tahun kesebelas penubuhan kampung itu, yang dibina diatas permuafakatan setelah ditimpa bencana dalam tragedi kebakaran Julai 1997.
Majlis sambutan ulang tahun itu diadakan setiap tahun dengan pelbagai atur cara. Kampung Cenderamata Dua yang terpilih sebagai Kampung Tanpa Sampah di Bandaraya Kota Kinabalu telah menjadi sebutan kerana keupayaan warganya mewujudkan persekitaran bersih tanpa sampah. Atas sebab itu, Kampung Cenderamata Dua sentiasa dikunjungi, bukan saja pelawat dalam negeri malah dikunjungi pengunjung luar negara yang kebanyakan ingin tahun bagaimana kampung itu bermuafakat untuk menyelenggara sampah dan memastikan semua penduduknya mencintai keindahan dan kebersihan.
Tenaga penting dibalik kekuatan dan kegemilangan kampung itu terletak di bawah kepimpinan mantan Wakil Ketua Anak Negeri, Mulkaseh Haji Renda dan rakan-rakannya seperti Abdul Mumin Rasam, yang kini merupakan Pengerusi Rukun Tetangga, mantan pengerusi JKKK, Matchin Haji Salam, Pengerusi JKKK, Juarah Asoi, dan banyak lagi nama lain seperti Musalim Haji Tua,Haji Hashim Said, Edong Jumaani, Nadi Kadik,Bilal Munap, Imam Said, Sarigan Haji Renda,Jamaludin Sadi, Abd.Maujud Sadi, kaum ibu, Macro Enterprise, golongan belia dan sebagainya.
Tetapi tempoh sebelas tahun yang ditempuh warga kampung Cenderamata Dua bukanlah satu waktu yang panjang. Pengerusi JKKK, Juara Asoi jelas mahukan agar kehadiran penduduk dalam setiap program yang diadakan dapat ditingkatkan. Sambil menyatakan rasa kesal kerana sepatutnya lebih ramai penduduk dapat menghadirkan diri, beliau berkata sambutan ulang tahun itu sangatlah bermakna untuk mengenang semula sejarah kewujudan kampung itu.
Beliau juga berkata, warga kampung hendaklah sentiasa sepakat, bermuafakat dan terus memberikan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) pada masa akan datang. "Kita hendaklah memastikan calon BN menang dengan majoriti yang besar kerana tidak ada maknanya sebuah kemenangan jika menang dengan jumlah undi yang kecil," katanya.
Kemenangan dengan kelebihan majoriti yang besar di kawasan Sepanggar dan DUN Karambunai bagi memastikan kerajaan memberikan keutamaan kepada masyarakat dalam meningkatkan taraf hidup mereka.
Sementara itu, Ketua Kampung Likas Utara, Abd.Mumin Rasam menghimbau semula sejarah penubuhan kampung Cenderamata Dua yang dibangunkan atas puing-puing kebakaran dalam tragedi hitam 1997 yang menyebabkan hampir 1,000 kehilangan tempat tinggal.
Katanya, pada ketika itu, kampung itu disusun semua, sungai kecil ditimbus bagi memberikan tempat kepada kira-kira 118 lot rumah yang didiami penduduk kampung yang terlibat dalam kebakaran.
Beliau berkata, penduduk kampung amat terhutang budi kepada Ketua UMNO Bahagian Sepanggar, Datuk Jumat Haji Idris yang ketika itu bertugas sebagai Ahli Majlis (Kaunselor) Majlis Perbandaran Kota Kinabalu (MPKK) kerana bertungkus lumus mengatur dan menyusun penempatan penduduk Kampung Cenderamata Dua dan memastikan kampung itu mendapat kemudahan jalan raya, bekalan elektrik dan air.
Bagi mengenang jasa yang diberikan, penduduk kampung telah mengabadikan nama Jumat Idris sebagai nama jalan utama masuk ke kampung itu. Peranan dan jasa yang dimainkan oleh Jumat sehingga kampung Cenderamata Dua dapat disusun semula dan diwujudkan seperti yang ada sekarang amatlah dihargai. Bagaimanapun, ketika mengulas sikap segelintir penduduk yang kurang memberikan kerjasama dalam menjayakan program-program yang diadakan di kampung itu, Abdul Mumin menasihatkan agar setiap warga kampung itu merenung semula dan mengambil iktibar dari sejarah.
"Mungkinkah kesenangan telah melunturkan semangat kita? Apakah keselesaaan yang kita nikmati telah menyebabkan kita leka?," katanya di depan kira-kira 200 penduduk kampung yang hadir dalam majlis itu.
"Kita harus segarkan semula ingatan agar kita tidak melupai sejarah.Oleh itu, marilah kita memperkukuhkan perpaduan dan persaudaraan di kalangan penduduk kampung bagi memastikan kampung itu terus menikmati kesejahteraan dan pembangunan.
Ketua Bahagian UMNO Sepanggar, Datuk Jumat Haji Idris dalam ucapannya juga memuji semangat perpaduan yang ditunjukkan oleh warga kampung Cenderamata Dua Likas yang memperlihatkan komitmen dalam setiap program yang dijalankan.
Secara keseluruhannya, kerjasama yang ditunjukkan oleh penduduk kampung amatlah membanggakan dan jumlah kehadiran yang ramai, katanya yang juga merupakan Pengerusi BN Sepanggar. Walaupun pihak JKKK dan Ketua Kampung masih kurang berpuas hati dengan jumlah kehadiran tetapi ia jauh lebih baik berbanding kampung-kampung lain.
Apatahlagi, sambutan ulang tahun yang diadakan setiap tahun itu merupakan satu acara tahunan yang sering mencatat kehadiran yang menggalakkan, katanya yang terpaksa merasmikan tiga acara berasingan dalam program yang diaturkan menjelang tahun baru.
Jumat juga menekankan betapa pentingnya pembinaan modal insan di kalangan anak-anak kampung itu. Katanya, pembinaan modal insan amatlah penting untuk diberikan perhatian kerana ia boleh menentukan corak kehidupan pada masa depan.
Selain itu, beliau memuji masyarakat kampung kerana berjaya mengekalkan reputasi sebagai Kampung Tanpa Sampah di Bandaraya Kota Kinabalu. Jumat yang juga Timbalan Pengerusi Tekun Malaysia berkata, menjelang pergantian tahun itu, setiap orang hendaklah menghayati makna di sebaliknya. Usia kita bertambah tetapi permit kita hidup di dunia ini semakin berkurang, katanya. Oleh sebab itu, beliau menasihatkan agar setiap rakyat mengisi dan memberikan makna kepada kehidupan masing-masing dengan membuat lebih banyak amal kebajikan, mengerjakan kebaikan demi kesejahteraan dan kemajuan ummah.
Majlis Sambutan Ulang Tahun Kampung Cenderamata Dua yang kesebelas telahpun berakhir. Tetapi bagi penduduknya, perjuangan mereka untuk memastikan kampung itu menjadi sebuah kampung terbaik dan selesa untuk didiami baru saja bermula.