Tuesday, December 15, 2009


Lebih 1,000 meriahkan sambutan ulangtahun Kampung Cenderamata Dua Likas

LEBIH 1,000 MERIAHKAN SAMBUTAN ULANGTAHUN KG CENDERAMATA DUA LIKAS

KOTA KINABALU: Lebih 1,000 orang membanjiri Kampung Cenderamata Dua Likas pada Malam Ahad Lepas bagi memeriahkan sambutan Ulang Tahun ke-10 yang diserikan dengan pertunjukan bunga api, persembahan kebudayaan dan cabutan tiket bertuah yang membawa pelbagai hadiah menarik.

Sambutan Ulang Tahun ke-10 itu dirasmikan oleh Ketua UMNO Bahagian Sepanggar, Jumat Haji Idris yang turut dihadiri oleh Setiausaha UMNO Bahagian Sepanggar, Razali Haji Razi, Wakil Ketua Anak Negeri, Mulkaseh Haji Renda, Ketua Kampung Likas Utara, Abdul Mumin Rasam, Pengerusi JKKK, Juarah Asoi, Pengerusi Biro Pendidikan UMNO Sepanggar, Laliman Ahmad dan penduduk berbilang kaum di kampung itu.

Sebaik-baik gong dipalu bagi menandakan majlis perasmian, malam diserikan dengan pertunjukan bunga api, persembahan kebudayaan dan yang paling menarik ialah cabutan tiket bertuah yang menawarkan hadiah menarik seperti peti tv, mesin basuh, basikal, telefon genggam, dan berpuluh-puluh hamper yang disumbangkan para dermawan di sekitar ibu negeri.

Kampung Cenderamata Dua yang dirasmikan pada tahun 1999, memiliki sejarah yang tersendiri kerana ia ditubuhkan selepas satu kebakaran besar berlaku pada tahun 1997, memusnahkan hamipr seluruh kampung yang menyebabkan lebih 1,000 kehilangan tempat tinggal.

Tidak lama kemudian, kampung yang musnah terbakar itu disusun semula sebagai sebuah perkampungan bumiputera dan dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah pada tahun 1999.

Selepas itu, kampung itu mencatat pelbagai kejayaan termasuk menjadi satu-satunya kampung yang diisytiharkan sebuah Kampung Zon Tanpa Sampah di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu dan dikunjungi pelawat dari dalam dan luar negeri.

Dalam ucapan perasmiannya, Jumat menekankan betapa pentingnya ibu bapa memastikan anak-anak mereka mendapat pendidikan yang sempurna kerana hanya mereka yang dapat memastikan masa depan yang cemerlang dan perjuangan ibubapa mereka berkesinambungan.

Beliau turut memuji kerjasama penduduk kampung yang kukuh dan perpaduan yang menggambarkan 1 Malaysia dan berharap ia dapat dipertahankan dan mampu menjadi contoh kepada kampung-kampung lain di sekitar ibu negeri.

Majlis pada malam itu juga turut memberikan penghargaan kepada tokoh-tokoh kampung yang berjasa, barisan dan lorong yang tercantik dan hadiah untuk pelbagai kategori











































































































Saturday, November 14, 2009

Almudin berkunjung ke Cenderamata Dua Likas



Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Almudin Kaida memilih Kampung Cenderamata Dua Likas sebagai programnya yang pertama selepas terpilih sebagai salah seorang Timbalan Presiden PBS beberapa minggu lalu. Dalam majlis itu, beliau telah merasmikan Kejohanan SepakTakraw Tertutup Kampung Cenderamata 2 Likas. Selain beliau juga menyerahkan borang bantuan beras subsidi untuk dipohon oleh mereka yang layak. Kelihatan dalam gambar, Almudin menyerahkan borang kepada Pengerusi JKKK, Juara Asoi sambil diperhatikan oleh KK Likas, Abdul Mumin Rasam, AMT PBS, Lin Haji Harun, Matchin Haji Salam, Haji Hashim dan Musalim Haji Mutalib.

Sunday, October 25, 2009

Cenderamata Dua Likas ikut berbaris Hari Jadi TYT


Penduduk Kampung Cenderamata Dua Likas Kota Kinabalu diketuai Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN), Mulkaseh Haji Renda telah mengambil bahagian dalam Istiadat Perbarisan Sempena Hari Jadi Rasmi Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri Sabah yang ke 63 di Padang Merdeka pada Sabtu 24 Oktober 2009. Kampung Cenderamata Dua, mungkin satu-satunya kampung yang mengambil bahagian dalam istiadat perbarisan itu. Tahniah.

Saturday, August 22, 2009

Pelajar Jepun berkunjung ke Cenderamata Dua


19 PELAJAR UNIVERSITI WASEDA LAWAT CENDERAMATA DUA

KOTA KINABALU: Seramai 19 pelajar dari Universiti Waseda Jepun yang kini sedang berada di Sabah telah mengunjungi Kampung Cenderamata Dua Likas, pagi kelmarin untuk berkongsi pengalaman mengenai pengurusan sampah di kampung itu.
Pelajar-pelajar Jepun itu yang menyertai Projek Borneo itu diketuai Masateru Konno telah diberi taklimat mengenai Zon Kampung Tanpa Sampah oleh Ketua Kampung Abd Mumin Rasam dan Mulkaseh Haji Renda.
Kampung Cenderamata Dua Likas merupakan satu-satunya kampung yang diiktiraf sebagai Zon Kampung Tanpa Sampah di ibu negeri.
Rombongan pelajar dari Jepun itu yang ditaja oleh Pusat Sukarela Waseda tiba 10 Ogos lepas dan berada di negeri ini sehingga 2 September depan telah melakukan pelbagai program kemasyarakatan untuk meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya menjaga alam sekitar.
Mereka telah mengadakan program pengurusan sampah di Kampung Numbak, mengadakan sesi bimbingan alam sekitar bersama penduduk kampung.
Sepanjang berada di negeri ini mereka telah mengadakan pertemuan dengan Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Iliyas Ibrahim.


PELIHARA ALAM SEKITAR....Sebahagian pelajar dari Universiti Waseda bergambar di pintu masuk Kampung Cenderamata Dua Likas pagi kelmarin
.

Thursday, August 13, 2009

Cenderamata Dua tubuh Kepolisian Masyarakat




BANTU CEGAH JENAYAH...Pasukan Kepolisian Masyarakat (Community Policing) Kampung Cenderamata Dua, Likas merupakan antara pasukan Kepolisan Masyarakat yang paling aktif di ibu negeri. Pembabitan masyarakat dalam pasukan itu telah membantu mengurangkan kadar jenayah di Kota Kinabalu khususnya di Kampung Cenderamata Dua Likas.Pasukan itu juga mengadakan rondaan setiap hari bermula jam 11.00 malam hingga awal pagi. Kewujudan pasukan Kepolisian Masyarakat ini amat berkesan sekali untuk membantu mengurangkan kadar jenayah di negeri ini. Kelihatan dalam gambar pasukan Kepolisian Masyarakat Kampung Cenderamata Dua diketuai Lee Haji Musa bergambar di pintu gerbang kampung itu

Penduduk Cenderamata Dua Tubuh Bomba Sukarela







PENDUDUK CENDERAMATA DUA TUBUH BOMBA SUKARELA

KOTA KINABALU: Setiap kali tibanya bulan Julai, minda Mulkaseh Haji Renda sering dikuasai oleh kenangan pahit dan mendukacitakan yang berlaku kira-kira 12 tahun yang lalu.
Beliau yang juga Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN) terbayang-bayang peristiwa mengerikan itu apabila seluruh kampung Seranti (Kini Cenderamata Dua) terbakar dalam peristiwa hitam 14 Julai 1997 yang memusnahkan hampir 1,000 buah rumah di kampung itu.
Oleh itu, WKAN Mulkaseh dan penduduk kampung Cenderamata Dua yang lain sering mengadakan majlis kesyukuran sebagai rasa keinsafan supaya dijauhkan dari kobaran api malapetaka.
Tetapi pada tahun ini, anggota masyarakat di kampung itu bersama-sama menubuhkan Pasukan Bomba Sukarela yang bertindak memadamkan bahaya kemungkinan berlakunya lagi kebakaran di kampung itu.
"Dengan penubuhan pasukan bomba sukarela, kita dapat bertindak lebih awal sekiranya berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini," katanya.
Selain itu, ia juga dapat membantu memberi keyakinan kepada penduduk kampung kerana mereka boleh bertindak memadamkan kebakaran jika berlaku musibah.
Mulkaseh berkata, penubuhan pasukan Bomba Sukarela itu banyak manfaatnya kepada masyarakat kampung Cenderamata Dua yang masih terdedah kepada bahaya kebakaran.

Pelancaran Aktiviti Pasukan Bomba Sukarela bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat, disempurnakan oleh Ketua UMNO Bahagian Sepanggar, Jumat Haji Idris dan disaksikan oleh pegawai kanan Bomba dan Penyelamat, Udin Jiloh.
Dalam ucapannya, Jumat memuji usaha penduduk kampung untuk menubuhkan pasukan Bomba Sukarela itu kerana ia dapat membantu bukan saja memadamkan kebakaran tetapi menjadi pasukan penyelamat jika berlaku sebarang kecemasan.
Katanya, kerjasama dan perpaduan yang ditunjukkan penduduk Kampung Cenderamata Dua dalam menjayakan banyak perkara termasuk menubuhkan pasukan Bomba Sukarela wajar dicontohi kerana ia merupakan satu amalan yang baik ke arah kemajuan.
Beliau juga berkata UMNO Sepanggar akan menubuhkan Pasukan Mengurus dan Menyelamat Sepanggar (SMART) yang mampu bertindak cepat dan segera untuk membantu orang ramai jika berlaku sebarang kes kecemasan dan bencana alam.
Menurutnya, anggota pasukan SMART itu akan diberi latihan menyelamat, memadam kebakaran, mencegah jenayah dengan kerjasama pihak-pihak tertentu PDRM, Jabatan Bomba dan Penyelamat, TLDM dan sebagainya.
"Semangat bergerak maju dalam mendepani cabaran wajar terus diamalkan oleh penduduk kampung sebagai tanda dan bukti mereka cinta kepada negara.Jika kita cinta kepada negara, kita hendaklah bersama-sama menjaga kesejahteraan negara daripada diganggu gugat oleh anasir yang tidak baik," katanya.



LANCAR AKTIVITI....Anggota Pasukan Bomba Sukarela Kampung Cenderamata Dua bergambar dengan Ketua UMNO Bahagian Sepanggar Likas kelmarin.

Wednesday, June 10, 2009

Penduduk Kampung Cenderamata Dua Buat Rondaan

Tahniah kepada masyarakat Kampung Cenderamata Dua Likas yang membentuk Pasukan Kepolisian Masyarakat dengan menjalankan rondaan setiap malam sehingga pagi secara bergilir-gilir. Tugas mulia yang mereka jalankan sejak beberapa minggu lepas sekurang-kurangnya telah berjaya membantu mengurangkan kadar jenayah dan gejala sosial yang lain. Kini sudah semakin jarang yang tidak berkenaan masuk ke kampung cenderamata dua dan mencemarkan imej kampung itu.tahniah.
Selain WKAN Mulkaseh Haji Renda, Ketua kampung Mumin Rasam, Haji Hashim, ramai lagi yang menjadi tulang belakang untuk menjayakan program untuk membantu kerajaan membanteras jenayah.

Wednesday, February 11, 2009

Duta Sampah Kampung Cenderamata Dua Likas


Kampung Cenderamata Dua, Likas mempunyai caranya yang tersendiri untuk membanteras sampah sehingga ia menjadi kampung pertama di negeri ini diisytiharkan sebagai sebuah kampung zon tanpa sampah.
JK Micro Enterprise kampung itu menggalakkan kanak-knak dan remaja di kampung itu untuk menjadi `duta sampah'. Mereka dari kecil lagi dididik dan dibimbing untuk menjaga kelestarian alam sekitar. Memungut sampah dan membantu memastikan kawasan kampung sentiasa bersih. Sumbangan para `duta sampah ' kepada kampung cenderamata dua Likas amat besar ertinya.

Wartawan Suliati Asri

Saya belum begitu mengenalinya tetapi sebagai warga Kampung Cenderamata Dua Likas, saya amat berbangga dan gembira kerana seorang anak cenderamata Dua, perlahan-lahan mengukir namanya sebagai wartawan Harian Metro di Kuala Lumpur.Namanya Suliati Asri, kini sedang bertugas di Meja Rencana akhbar yang cukup berpengaruh di ibu negara.
Saya bertemu Suliati ketika bersama wartawan lain membuat liputan pelancaran Kampus Astro Bersama Komuniti Sekolah di SMK Nabawan 2, sebuah sekolah luar bandar yang terletak kira-kira 67 kilometer dari Keningau.
Selepas tamat tingkatan lima, Suliati melanjutkan pelajaran di KL seterusnya bekerja di Harian Metro.
Saya kira, Suliati mampu menjadi wartawan yang berjiwa besar sekiranya beliau terus tabah dan sabar menekuni dunia kewartawanan yang penuh pancaroba.Kami warga cenderamata Dua mengucapkan selamat maju jaya untuk anda

Friday, January 23, 2009

Jumat dijangka melawat Cenderamata Dua

Yang Berbahagia, Ketua UMNO Bahagian Sepanggar, Saudara Jumat Haji Idris dijadual akan melakukan lawatan kerja ke Kampung Cenderamata Dua Likas pada 25 Januari ini bermula jam 9.00 pagi. Beliau juga dijangka menyerahkan kunci rumah PPR kepada sarigan haji renda dalam majlis itu.

Semua penduduk kampung dijemput hadir untuk memeriahkan lagi majlis itu. WKAN Mulkaseh Haji Renda memberitahu, persiapan sedang diatur untuk memastikan majlis itu dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Thursday, January 8, 2009

sanggup meredah air


WKAN Mulkaseh Haji Renda meredah banjir ketika fenomena air pasang melanda kampung Cenderamata Dua beberapa tahun lalu

Saudara Musalim dan Juarah



Gambar dua tokoh, Musalim Tua Haji Mutalib dan Juarah Asoi, iaitu antara orang yang memainkan peranan instrumental dalam kemajuan kecemerlangan Kampung Cenderamata Dua Likas.