Thursday, August 13, 2009

Penduduk Cenderamata Dua Tubuh Bomba Sukarela







PENDUDUK CENDERAMATA DUA TUBUH BOMBA SUKARELA

KOTA KINABALU: Setiap kali tibanya bulan Julai, minda Mulkaseh Haji Renda sering dikuasai oleh kenangan pahit dan mendukacitakan yang berlaku kira-kira 12 tahun yang lalu.
Beliau yang juga Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN) terbayang-bayang peristiwa mengerikan itu apabila seluruh kampung Seranti (Kini Cenderamata Dua) terbakar dalam peristiwa hitam 14 Julai 1997 yang memusnahkan hampir 1,000 buah rumah di kampung itu.
Oleh itu, WKAN Mulkaseh dan penduduk kampung Cenderamata Dua yang lain sering mengadakan majlis kesyukuran sebagai rasa keinsafan supaya dijauhkan dari kobaran api malapetaka.
Tetapi pada tahun ini, anggota masyarakat di kampung itu bersama-sama menubuhkan Pasukan Bomba Sukarela yang bertindak memadamkan bahaya kemungkinan berlakunya lagi kebakaran di kampung itu.
"Dengan penubuhan pasukan bomba sukarela, kita dapat bertindak lebih awal sekiranya berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini," katanya.
Selain itu, ia juga dapat membantu memberi keyakinan kepada penduduk kampung kerana mereka boleh bertindak memadamkan kebakaran jika berlaku musibah.
Mulkaseh berkata, penubuhan pasukan Bomba Sukarela itu banyak manfaatnya kepada masyarakat kampung Cenderamata Dua yang masih terdedah kepada bahaya kebakaran.

Pelancaran Aktiviti Pasukan Bomba Sukarela bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat, disempurnakan oleh Ketua UMNO Bahagian Sepanggar, Jumat Haji Idris dan disaksikan oleh pegawai kanan Bomba dan Penyelamat, Udin Jiloh.
Dalam ucapannya, Jumat memuji usaha penduduk kampung untuk menubuhkan pasukan Bomba Sukarela itu kerana ia dapat membantu bukan saja memadamkan kebakaran tetapi menjadi pasukan penyelamat jika berlaku sebarang kecemasan.
Katanya, kerjasama dan perpaduan yang ditunjukkan penduduk Kampung Cenderamata Dua dalam menjayakan banyak perkara termasuk menubuhkan pasukan Bomba Sukarela wajar dicontohi kerana ia merupakan satu amalan yang baik ke arah kemajuan.
Beliau juga berkata UMNO Sepanggar akan menubuhkan Pasukan Mengurus dan Menyelamat Sepanggar (SMART) yang mampu bertindak cepat dan segera untuk membantu orang ramai jika berlaku sebarang kes kecemasan dan bencana alam.
Menurutnya, anggota pasukan SMART itu akan diberi latihan menyelamat, memadam kebakaran, mencegah jenayah dengan kerjasama pihak-pihak tertentu PDRM, Jabatan Bomba dan Penyelamat, TLDM dan sebagainya.
"Semangat bergerak maju dalam mendepani cabaran wajar terus diamalkan oleh penduduk kampung sebagai tanda dan bukti mereka cinta kepada negara.Jika kita cinta kepada negara, kita hendaklah bersama-sama menjaga kesejahteraan negara daripada diganggu gugat oleh anasir yang tidak baik," katanya.



LANCAR AKTIVITI....Anggota Pasukan Bomba Sukarela Kampung Cenderamata Dua bergambar dengan Ketua UMNO Bahagian Sepanggar Likas kelmarin.

No comments:

Post a Comment