Monday, July 16, 2012

Kampung Cenderamata 2 Likas tubuh Pasukan Bomba Sukarela


Kampung Cenderamata Dua Likas menjadi Kampung pertama di kawasan Karambunai yang berjaya menubuhkan Pasukan Bomba Sukarela. Penubuhan pasukan bomba sukarela itu adalah sesuatu yang sangat bermanfaat dan relevan memandangkan kampung Cenderamata Dua mengalami beberapa episod kebakaran, paling akhir ialah pada Awal April lepas.
Selain itu, Pengerusi Bomba Sukarela ,Juara Asoi  berkata, terdapat lagi beberapa kejadian yang hampir membawa tragedi.
Bahkan beliau berkata, ada kalanya keasyikan menonton sinetron atau drama bersiri di tv boleh menyebabkan kelekaan yang mungkin membawa bahaya.
Menurutnya, terdapat beberapa kejadian yang hampir membawa padah telah berlaku di kampung cenderamata Dua.
Oleh sebab, beliau meminta agar semua pihak berwaspada dalam mencegah kebakaran.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat, Jalan Lintas, Yang Setia Rashid Musi mengalu-alukan penubuhan pasukan bomba sukarela itu.

Katanya, pihaknya telah membekalkan pelbagai peralatan untuk kegunaan pasukan itu dan beberapa permohonan lain sedang menanti giliran.

Beliau juga berkata, pihak wakil rakyat juga wajar membantu pasukan bomba sukarela.

Sementara itu, dalam ucapannya. Ahli Dewan Undangan Negeri Karambunai, Datuk Hajah Jainab Datuk Seri Panglima Haji Ahmad Ayid berkata, rakyat digesa agar terus memberikan sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) yang begitu prihatin dengan memberikan pelbagai jenis bantuan semata-mata untuk memastikan kesejahteraan dan kebajikan rakyat sentiasa terjaga.

Beliau yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Teknologi Maklumat berkata pelbagai jenis bantuan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diberikan oleh kerajaan adalah bukti komitmen kerajaan dalam membela kepentingan rakyat agar menikmati kehidupan yang selesa dan sejahtera.

Katanya, rakyat dinasihatkan agar tidak terpengaruh dengan dakyah pembangkang yang boleh menyebabkan negara tidak stabil dengan mengadakan pelbagai demonstrasi yang tidak menguntungkan.

Jainab berkata, rakyat tidak akan menghirup udara yang tenteram sekiranya negara  kucar kacir seperti yang berlaku di negara lain.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan agar rakyat terus memperkukuhkan aspek  kerjasama dan menanamkan kesedaran betapa pentingnya keharmonian terus dipelihara.

Jainab berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Surat Watikah Perlantikan JKKK, Penyampaian Pemadam Api dan Sijil Insuran Api Perlindungan Rumah di Kampung Cenderamata 2, Likas Kota Kinabalu, pada Ahad 15 Julai 2012

Beliau berkata jika semua anggota masyarakat bekerjasama, semua masalah mampu diatasi dengan baik termasuk mengekang gejala sosial seperti penagihan dadah dan sebagainya.

Selain itu, beliau juga memuji masyarakat Kampung Cenderamata Dua kerana berjaya menubuhkan Pasukan Bomba Sukarela yang pertama di Karambunai selain terus gigih berusaha menanamkan kesedaran akan pentingnya keselamatan termasuk memberikan latihan mencegah dan mengawal kebakaran.












Katanya, Kampung Cenderamata Dua yang terkenal sebagai sebuah kampung pertama diisytihar Kampung Zon Tanpa Sampah mampu untuk mencatat pelbagai kejayaan lain jika terus bersatu.

Katanya, pihaknya akan terus membantu dalam pelbagai aspek bagi memastikan masyarakat terus menikmati kemajuan dan pembangunan.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Lintas Kota Kinabalu, Rashid Musi, Ketua Kampung Likas Utara, Haji Abdul Mumin Rasam, Pengerusi JKKK kampung Cenderamata Dua, Nadi Kadik dan Pengerusi Pasukan Bomba Sukarela Cenderamata Dua, Juarah Asoi.

 -Utusan Borneo, Isnin 16 Julai 2012

No comments:

Post a Comment